TEBRAU, 13 Mei: Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau (DMPKT) tidak ketinggalan untuk bersama-sama masyarakat meraikan Hari Ibu yang disambut pada awal Mei setiap tahun.
Bertempat di pintu masuk pasar raya Giant, Plentong, dekat sini, DMPKT Ahad lalu mengadakan program 'Sayang Ibu Sayang' (SIS) yang mensasarkan kaum ibu untuk diraikan pada hari istimewa itu.
Mengambil masa dua jam iaitu dari jam 3.30 hingga 5.50 petang, DMPKT yang turun dengan enam orang tenaga menghadiahkan sekuntum bunga mawar yang dihias beserta kad ucapan kepada setiap ibu dan gula-gula untuk anak-anak.
Selain meraikan sambutan Hari Ibu bersama masyarakat tanpa mengira kaum, SIS juga bertujuan mewujudkan hubungan baik di antara DMPKT dengan masyarakat setempat di samping menyebarkan dakwah kepada mereka.
Menurut ketua DMPKT, Norhayati Bidin, sambutan yang diterima terhadap program tersebut memberangsangkan dan ia berjaya menarik perhatian peniaga dan kakitangan di pasar raya tersebut.
"Sebanyak 150 kuntum bunga berjaya dihabiskan, kegembiraan di hati para ibu tatkala menerima sekuntum bunga diiringi ucapan ‘Selamat Hari Ibu.
"Pemberian bunga kepada semua ibu tanpa mengira kaum telah menarik perhatian para bapa untuk diberi hadiah juga untuk mereka kelak," kata beliau kepada Harakahdaily.
Tambahnya, terdapat juga beberapa kakitangan lelaki meminta bunga untuk diberikan kepada isteri dan ibu mereka.
Beliau juga berkata, program yang dapat mewujudkan suasana mesra di antara DMPKT dengan masyarakat seperti itu akan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang. |
No comments:
Post a Comment