Friday, May 13, 2011

Wan Hamidi: Erti persabahatan Pakatan
Wan Hamidi Hamid   
Semua orang tahu PAS, DAP dan PKR tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan masing-masing. Itu soal dasar parti. Komponen sekular MCA, Gerakan dan beberapa lagi parti dalam Barisan Nasional yang menolak Ketuanan Melayu pun masih boleh bersahabat dengan Umno walau pun dalam senyuman pahit.

Perbezaan ketara di antara PAS yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar politik dan DAP yang memperjuangkan demokrasi sosial bersifat sekular telah menjadi bahan kepada musuh politik mereka Umno untuk mengapikan permusuhan.

Yang tidak ditonjolkan oleh media arus perdana milik Umno dan Barisan Nasional ialah kesefahaman PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang berpegang kepada dasar bersama untuk menegakkan keadilan melalui demokrasi tulen yang menentang rasuah, salah guna kuasa, politik perkauman dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Sebaliknya apa yang sibuk digerakkan oleh kempen perang saraf Umno ialah mencipta fitnah dan pembohongan untuk menimbulkan syak wasangka sesama anggota komponen Pakatan Rakyat.

Tohmahan kononnya DAP terlibat dalam usaha sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara telah dijelmakan sebagai berita oleh Utusan Malaysia yang semata-mata memetik tuduhan liar blogger pro-Umno tanpa usul periksa.

Setelah beberapa hari isu ini dibangkitkan, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang mula menjauhkan diri daripada taktik kotor itu. Namun ia tidak akan menghentikan serangan propaganda Umno dan konco-konconya terhadap Pakatan Rakyat.

Serangan-serangan ini telah dimulakan sejak Umno dikejutkan dengan kekalahan beberapa negeri serta kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Untuk menutup kelemahan diri, para pemimpin Umno cepat-cepat menuding jari menyalahkan orang lain.

Apabila isu konspirasi agama rasmi dibangkitkan, para penyebar fitnah menyangka ia adalah kejayaan besar untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan tanpa menyedari kesan jangka panjang hasutan sedemikian terhadap keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Apa yang mereka tidak jangkakan ialah reaksi PAS dalam menangani pembohongan itu. Bukan sahaja para pemimpin PAS tidak berdiam diri, malah mereka berdiri teguh bersama DAP untuk mematikan serangan fitnah yang tidak munasabah itu.

Datuk Seri Abdul Haji Awang mengulangi pendirian Pakatan untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta kebebasan mengamalkan agama-agama lain dengan aman.

Dalam kenyataannya, Presiden PAS itu menyatakan: “Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian, adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah”.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyokong laporan tidak berasas Utusan.

“Pada hal berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu bukannya berita benar. Perkara itu dinafikan sendiri oleh golongan paderi dan DAP. Berita itu ternyata bersifat provokasi yang boleh menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara.”

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman yang membuat laporan polis terhadap berita palsu Utusan itu pula menganggapnay sebagai satu agenda yang didalangi UMNO yang sengaja mahu meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu,” katanya.

Suara Mazlan mewakili kebanyakan pemimpin dan ahli PAS yang sudah pun menghidu perang saraf Umno yang mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan atas alasan “adakah DAP boleh perjuangkan Islam?”, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyatakan:

“Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua... jadi tak timbul soal ini…kerajaan negeri Pulau Pinang (yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng)  juga tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam... tiada apa-apa masalah.”

Isu agama dan kaum akan terus dilontarkan oleh konco-konco Umno; tambahan pula menjelang muktamar agung PAS yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan parti pada Jun depan.

Ada kalangan Umno yang masih mengharapkan “wakil-wakil Umno” dalam PAS akan tunduk kepada hasrat untuk membawa keluar PAS dari Pakatan. Bagi mereka, hanya cara itu dapat menguburkan Pakatan melalui politik pecah dan perintah.

Namun, para pemimpin dan ahli PAS diingatkan oleh oleh AJK PAS Pusat Mohamad Sabu supaya berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat Umno yang semakin terdesak sejak kebelakangan ini.

“Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat sebab dia tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang boleh menggugat BN.

“Sebab itu BN tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat... tambahan yang boleh kalahkan Umno adalah PAS,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Pendirian sebeginilah yang menggusarkan pucuk pimpinan Umno; jarum hasutan mereka gagal mengubah pendirian kepimpinan PAS. Persahabatan erat PAS dan DAP dengan kerjasama PKR menyukarkan Umno dan konco-konconya untuk percaya kepada tohamahan-tohmahan perkauman serta keagamaan sempit.

Mungkin Umno tersalah jangka bahawa komponen-komponen Pakatan tidak akan membantu satu sama lain kerana pentingkan diri sendiri, dalam apa yang sering digambarkan oleh media arus perdana sebagai pakatan rapuh.

Yang nyata, formula Pakatan yang saling membantu serta mempertahankan sahabat dalam perkara-perkara yang benar dan baik sudah terbukti berjaya.

Jika pergeseran sesama sendiri dapat dikendurkan; jika perebutan kerusi dan jawatan dikurangkan; jika syak wasangka dileburkan; tidak mustahil kemantapan Pakatan akan dapat dipertingkatkan lagi....The Malaysian Insider.
------------------------------------------------
Penulis adalah wartawan veteran yang kini pencen untuk menikmati muzik rock.
 
Harakahdaily   
TEBRAU, 13 Mei: Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau (DMPKT) tidak ketinggalan untuk bersama-sama masyarakat meraikan Hari Ibu yang disambut pada awal Mei setiap tahun.

Bertempat di pintu masuk pasar raya Giant, Plentong, dekat sini, DMPKT Ahad lalu mengadakan program 'Sayang Ibu Sayang' (SIS) yang mensasarkan kaum ibu untuk diraikan pada hari istimewa itu.

Mengambil masa dua jam iaitu dari jam 3.30 hingga 5.50 petang, DMPKT yang turun dengan enam orang tenaga menghadiahkan sekuntum bunga mawar yang dihias beserta kad ucapan kepada setiap ibu dan gula-gula untuk anak-anak.

Selain meraikan sambutan Hari Ibu bersama masyarakat tanpa mengira kaum, SIS juga bertujuan mewujudkan hubungan baik di antara DMPKT dengan masyarakat setempat di samping menyebarkan dakwah kepada mereka.

Menurut ketua DMPKT, Norhayati Bidin, sambutan yang diterima terhadap program tersebut memberangsangkan dan ia berjaya menarik perhatian peniaga dan kakitangan di pasar raya tersebut.

"Sebanyak 150 kuntum bunga berjaya dihabiskan, kegembiraan di hati para ibu tatkala menerima sekuntum bunga diiringi ucapan ‘Selamat Hari Ibu.

"Pemberian bunga kepada semua ibu tanpa mengira kaum telah menarik perhatian para bapa untuk diberi hadiah juga untuk mereka kelak," kata beliau kepada Harakahdaily.

Tambahnya, terdapat juga beberapa kakitangan lelaki meminta bunga untuk diberikan kepada isteri dan ibu mereka.

Beliau juga berkata, program yang dapat mewujudkan suasana mesra di antara DMPKT dengan masyarakat seperti itu akan diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang.
 
Bookmark and Share

Selamat Hari Guru




10 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
PAS Miri

“Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.”

PAS Miri ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei nanti kepada semua guru-guru. Merujuk kepada pendidik profesional peranan dan tugas utama guru pada umumnya adalah mendidik, mengajar, membimbing, mengarahkan, melatih dan menilai anak didiknya. Peranan guru sangat luas lebih-lebih lagi dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Pihak yang berwajib patut memberi perhargaan kepada guru-guru yang telah mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna untuk bangsa dan Negara. Di antara masalah guru yang patut diberi perhatian oleh pihak berwajib:

- Seperti memberi kemudahan asas dan tempat tinggal yang selesa kepada guru-guru yang mengajar di kawasan luar bandar dan di ulu pendalaman.

- Kerajaan perlu menpertimbangkan permintaan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ketika ini dengan keperluan dan kekosongan supaya tidak timbul masalah yang timbul sekiranya sistem pengurusan itu baik, tiada masalah yang timbul. Jangan biarkan masalah berpanjangan kalau perlu diselesaikan dengan segera

- Kepada guru-guru sandaran sekolah menengah yang tidak terlatih kita minta Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menunaikan janjinya terhadap mereka agar mereka diberi latihan perguruan dan dilantik semula seperti mana guru di Sekolah agama Islam dan Sekolah Rendah Kebangsaan.

Kita berharap pihak yang berwajib dapat memberi perhatian yang serious masalah guru ini agar semua pihak yang terlibat dapat bekerja dengan selesa dan dapat mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin.

Harapan kita dengan adanya guru yang terlatih dan professional anak didik yang bakal memimpin Negara di masa hadapan akan dapat memimpin dengan baik, amanah, adil dan dapat membangun Negara dengan lebih teratur dan bebas dari unsur-unsur negative seperti rasuah dan penyelewengan.

Tanpa Guru yang mendidik dan mengajar kita semasa kita kanak-kanak dulu, siapalah kita pada hari ini. Terima kasih Gikgu.

Dari PAS Miri


Saturday, May 7, 2011

Kenapa Tuhan Tidak Menolong Menemukan Jodoh Untukku??
www.murabbi.net
Dihantar Oleh : KAKLONG
Editor: KAKLONG




"Bukankah aku sudah menghabiskan hari-hariku untuk beribadah kepada-Mu, Ya Allah."Bukankah aku sudah berdoa dan yakin akan pertolongan-Mu, Ya Allah. Namun mengapa Engkau tidak menolongku? Mengapa tidak dikirimkan jodoh yang sesuai buatku, Ya Allah?....


Tak kurang dari 5 kali, Fulan menolak tawaran kawan-kawan yg hendak menjodohkannya. Alasannya...'Belum ada yang sesuai!'. Ia pun berikhtiar sendiri. Banyak cara ia lakukan. Salah satunya doa yg paling disukai Fulan dalam QS.Al-Furqan : 74.

"Rabbana hablanaa min azwaajinaa wa dzurriyyatinaa qurrata a'yun waj'alnaa lilmuttaqiina imaamaa".



Doa ini tidak pernah dia lewatkan. Setelah solat, ia membacanya. Saat mengaji, ia membacanya. Begitu pula saat Qiyamullail, setelah membaca Al-Quran, saat ramadhan apatah lagi. Suatu hari Fulan mengadu pada sahabatnya, "Kenapa ya Allah belum juga mengabulkan doaku?"


Ujar sahabatnya,

"Jangan berburuk sangka dulu, Allah pasti akan memberikan yang terbaik untukmu, hanya kamu saja belum menyedarinya! Menurut aku sebenarnya Allah telah mengabulkan doamu." jawab temannya..


"Bagaimana????", sanggah Fulan.


"Wah, kamu ini seperti seorang ahli ibadah yang mati tenggelam!"


Alkisah ada ahli ibadah yang sedang bertaqarrub kepada Allah. Namun ibadahnya terganggu oleh datangnya banjir yang besar. Rumahnya ditenggelami air sedikit demi sedikit. Ahli ibadah itu segera keluar rumah. Ia memandang sekelilingnya, jangan-jangan banjir ini tanda dari Allah.


Saat itulah seorang yang sedang mengayuh rakit mendekatinya,"Wahai orang soleh, selamatkan dirimu! Naiklah ke atas rakitku". Ia menjawab, "Saudaraku, Allah pasti akan menolongku. Berikan tempatmu itu kepada orang2 yang lebih memerlukan".



Tak lama kemudian datang lagi seseorang dengan rakitnya. "Marilah naik ke atas rakitku, engkau harus menyelamatkan diri!".


Ahli ibadah itu menolak dengan alasan yang sama, "Allah akan menolongku..".


Genangan air makin tinggi, ia pun naik ke atap rumah. Datanglah helikopter bantuan yang berputar-putar di depannya. "Aku akan hulurkan tali kepadamu. Peganglah erat2, aku akan menarikmu ke pesawat!", teriak seseorang dari helikopter tersebut. Ia menjawab, "Terima kasih saudaraku, tak usah kau menolongku. Aku yakin Allah tak akan membiarkanku tenggelam. Allah akan menolongku. Berikanlah tali itu pada yang lain".


Air itu semakin tinggi dan dia semakin tenggelam... dan dia pun berkata....


"Ya Allah, mengapa engkau biarkan aku tenggelam! Bukankah aku sudah menghabiskan hari-hariku untuk beribadah kepada-Mu! Bukankah aku sudah berdoa dan yakin akan pertolongan-Mu! Namun mengapa Engkau tidak menolongku?"



Datang seorang ustaz dan memberitahu ahli ibadah tersebut...


"Sebenarnya Tuhan telah menolongmu, Tuhan telah mengirimkan dua rakit dan satu helikopter untuk membantumu. Namun kamu tidak mahu....".



Namun, sayang ahli ibadah tersebut akhirnya telah mati ditenggelami air ...


Fulan termangu mendengar cerita itu.


"Tidak hanya 3 kali, sudah 5 kali Tuhan mengirimkan kepadamu calon isteri yang bagus agamanya. Namun kamu menolak," ujar sahabatnya. "Sekarang kamu sudah susah kan?," lanjutnya kembali.


Fulan tersenyum kecut.


"Sabar kawan. InsyaAllah, Allah akan mengirimkan kamu yang ke-enam! :)" Hibur sahabatnya.




Kadang-kadang kita mengharap sesuatu itu untuk kita...kita hendak yang begini, kita hendak yang begitu..Tetapi DIA lebih mengetahui apa yg lebih terbaik utk diri kita....


Sumber dipetik dari: Mari Belajar Mendalami Islam

Friday, May 6, 2011

JIKA BENARLAH OSAMA MATI...

JIKA BENARLAH OSAMA MATI...

30 Jamadil Awal 1432 H | 3 Mei 2011

Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.

Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.

Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.

Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.

Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin?

Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.

Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar puntidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.

Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?

Sekian, wassalam.
TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan, 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M